About

Shaz Johar

Penulis

Muslim 2061

Shaz Johar adalah seorang pencerita, blogger dan diva sepenuh masa. Kini dia sedang bertugas melayan kerenah-kerenah pelanggan yang terlampau di sebuah bank yang terkenal di Kuala Lumpur. Di masa lapang, dia gemar menconteng laman blog kesayangannya, Jejaka Anggun. Sementara jari-jemarinya pula tidak pernah lekang mengemaskini status twitternya di @malayrhapsody. Tabu merupakan novelnya yang kedua selepas Kougar yang sebelum ini telah merangkul anugerah Bakat Muda Selangor 2011 bagi kategori Penulisan Kreatif (Bahasa Melayu) – Cerpen/Novel.

Adib Zaini

Penulis

Di Bawah Komet Halley

Adib Zaini membesar di merata tempat di Lembah Klang dari Klang, ke Subang Jaya, ke Cheras, dan kini menetap di Sungai Buloh. Diplomanya tersimpan di dalam laci, tidak digunakan sejak tahun 2009. Sejak kecil lagi dia memang gemar berimaginasi. Selepas membaca karya seorang penulis botak lain yang bernama Brian K. Vaughan, dia mula menulis imaginasinya ke atas kertas (ataupun dalam bentuk 1 dan 0). Lima tahun kemudian dia mencuba nasib dengan menghantar karyanya ke Buku Fixi. Hasilnya, Zombijaya menjadi novel pertamanya. Kini dia masih, dan akan terus berimaginasi lagi selama yang mungkin.

Khairulnizam Bakeri

Penulis

Puncak

Khairulnizam Bakeri dilahirkan di Kelantan. Kini kerap ulang-alik Machang – Shah Alam. Untuk apa? Cari hidup dalam dunia, cari dunia dalam hidup. Aktif dalam bidang pengucapan awam, khususnya debat. Pemilik blog Salah Taip (dan pengicau acap di alam 140 aksara, Twitter. Percaya bahawa bahasa bukan untuk dilacur, bahkan untuk dilabur dan dilakur, agar jadi milik semua. Ya, termasuk kamu. Pecah ialah novelnya yang pertama dan kini sedang difilemkan oleh Grand Brilliance.

Saifullizan Tahir

Penulis

Gabung Kait

Saifullizan Tahir dilahirkan di negeri Johor.  Arkitek landskap yang turut mengendalikan perniagaan pegurusan acara dan latihan di Damansara.  Hasil tulisan beliau yang lain termasuk cerpen, sajak dan esei pernah tersiar di Dewan Budaya, Mingguan Malaysia dan Berita Minggu.  Penglibatan dalam bidang kesenian termasuk sebagai juri teater untuk Kakiseni Boh Cameronian Awards 2003-2007.  Antara anugerah yang pernah dimenangi adalah Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Exxon-Mobil dan Hadiah Sastera Darul Ta’zim. Kasino ialah novel tunggalnya.

Nadia Khan

Penulis

PWTC

Nadia Khan a.k.a Neddo Khan (atau nama mengikut I.C. birunya, Nadia binti Mohamad Hatta) telah ditanya oleh seorang wartawan ketika mendapat 4A untuk UPSR, “Apa cita-cita adik?” dan dia dengan penuh yakinnya menjawab, “Penulis.” Jawapan itu tak pernah tersiar di suratkhabar. Mendapat pendidikan formal di Petaling Jaya, Kuching, Taiping, Shah Alam, Seremban, Batu Pahat – dan pendidikan tidak formal di setiap langkah, di mana saja. Lulus M.B.B.S. pada tahun 2009, cita-cita yang dijawab pada umur 12 tahun itu terus dikejar sehingga terhasilnya Kelabu, novelnya yang pertama.

Dayang Noor

Penulis

10 Bulan Sebelum Misi Ke Marikh

Dayang Noor (Noor Aziza Sulaiman) dilahirkan di Mentakab, Pahang dan kini menetap di Puchong, Selangor dan bertugas sebagai seorang Eksekutif IT. Mula berjinak-jinak dengan bidang penulisan sewaktu di sekolah menengah ketika terbabit di dalam penghasilan beberapa skrip untuk drama teater. Teater arahannya berjudul Darah pernah memenangi kategori Drama Terbaik dan Pengarah Terbaik di dalam Pertandingan Teater Sekolah-sekolah Menengah peringkat daerah Johor Bahru. Jerat ialah novelnya yang pertama.

Yeoh Yi-Piao

Ilustrator

Muslim 2061
Puncak
PWTC

Yeoh Yi-Piao adalah seorang ilustrator untuk industri permainan video. Setelah bekerja dengan bahantara digital untuk beberapa tahun, dia kini sedang mencuba lukisan secara tradisional di atas kanvas. Anda boleh mengikuti percubaan-percubaannya yang gagal, dan yang berjaya di blog seninya.

Ho Sui-Jon

Ilustrator

Di Bawah Komet Halley
Gabung Kait
10 Bulan Sebelum Misi ke Marikh

Ho Sui-Jon dilahirkan pada tahun 1988 dan telah melukis sejak kecil lagi. Dia mempunyai latar belakang yang sah dalam seni dan desain yang dikaburi oleh pekerjaannya sebagai seorang wartawan kewangan. Dia berharap yang pada suatu hari dia akan menemui erti hidup - tetapi sehingga itu, dia akan terus melakukan apa yang dia suka sebagai seorang artis.

Bryan Chang

Designer

Bryan Chang adalah seorang freelance multimedia designer dengan Popdigital. Dia menikmati permainan video dan sastera dystopian, dan mempunyai tabiat untuk meletakkan pudina dalam makanan dan minumannya. Dia juga minat dengan seni tata huruf dan mengumpul muzik dan filem.

Amir Muhammad

Editor

Amir Muhammad mengasas Buku Fixi pada awal 2011 untuk memeriahkan lagi dunia penerbitan fiksyen Malaysia yang sudah sedia meriah. Syarikatnya yang lagi satu ialah Matahari Books. Di samping itu, dia juga sempat menulis beberapa buku dan mengarah beberapa filem.